Wednesday 3 October 2012

Senyumlah Hadapi Hidup...

  Jikalau kita mengukir senyuman tatkala dalam kesusahan dan kebingungan dalam menghadapi pelbagai masalah yang menimpa, sebenarnya kita sedang berusaha untuk meringankan beban dan mengetuk pintu kebahagiaan.   Jangan sesekali berfikir dua kali untuk tersenyum, kerana tersenyum bermakna kita sedang membangkitkan semangat dan kekuatan yang ada dalam diri.
  Jangan pula kita bermuram atau bermasam muka, kerana ianya menolak kekuatan yang kita miliki yang membuatkan diri bertambah kusut dan lebih menderita.
  Senyuman tidak membahayakan kita! Senyuman tidak membahayakan kita!!! Senyuman dapat memberi kehidupan.... Apabila kita berada dalam keadaan tertekan, otak kita tidak dapat berfungsi dengan baik dan tidak dapat memikirkan cara terbaik menyelesaikan masalah.
  Senyuman dapat menarik segala kebaikan. Bibir yang cantik adalah bibir yang ketika ianya mengukir senyuman. Senyumlah pada orang disekeliling kita. Senyuman dapat menyuntik semangat perasaan optimis dan damai di hati orang lain. Ianya dapat membantu kita berada dalam kalangan orang-orang yang membahagiakan.
  "SENYUM YANG MEMBAHAGIAKAN. BERLATIHLAH UNTUK TERSENYUM HARI INI.." 

Tuesday 2 October 2012

Jangan Bersedih Kerana Dunia

 

  Orang yang faham umur dunia amat singkat, harta dunia teramat sedikit, perlakuan dan perubahan dunia kepada penghuninya silih berganti, maka dia tidak akan bersedih kerana hilang apa sahaja dari hal keduniaannya. Dia tidak akan berputus asa apa sahaja yang tidak dia perolehi dari dunia ini.
  Oleh itu janganlah bersedih apa jua yang luput dari kita itu berupakan hal keduniaan. Usahlah kita leka menghitung istana yang besar, kereta berbagai, wang yang bertimbun, harta yang tidak terkira di jari jemari kerna semua itu adalah perkara yang tidak kekal dan pasti suatu saat nanti ianya akan luput dan membuatkan kita hilang arah kerana terlalu taksub akannya.
  Cubalah kita hitungkan berapa banyak harta yang akan kita bawa di akhirat kelak!!!
  Pujilah Allah, kerana kita adalah sebahagian dari insan-insan lain yang mempercayai adanya hari pertemuan dengan Yang Maha Esa, sementara ada sebahagian lagi selain kita yang masih tidak mengakui hari itu akan tiba.
  Bertuahlah orang yang menyedari akan kehadiran hari akhirat nanti dan bersiap sedialah untuknya. Betapa ruginya mereka yang lemah iman dan sibuk mencari harta dunia yang tak seberapa. Apa gunanya kemewahan tanpa iman dan takwa? Jikalau kekayaan itu dapat mebeli kebahagiaan dan menjamin terselamat dari sebarang bencana di bumi, maka sudah tentu tidak ada orang kaya yang mengeluh dan bersedih..

Bersyukur Atas Pemberian-Nya

  Jika sesekali beralih pandang mengenang kembali kehidupan yang lalu, pasti ada perkataan menyesal yang terungkap di dalam hati. Makin di hayati dan diingati satu persatu dengan lebih terperinci peristiwa lalu akan membuatkan kita berasa serba salah, sedih dan berasa marah akan kebodohan diri sendiri. Dalam kehidupan kita yang amat singkat, kita telah habiskan sebahagian dengan masa-masa lalu. Tahukah kita berapa lagi bahagian masa yang masih tertinggal? Justeru itu, bersyukurlah kita masih lagi diberi peluang pada hari ini untuk kita meneruskan kehidupan kita. Semoga kehidupan kita yang kita lalui sekarang ini dan minit-minit yang akan datang penuh dengan keberkatan.
   Jadilah kita sebagai hamba yang bersyukur. Walaupun perit menjalani hari-hari berlalu, tetapi kita berjaya mengatasinya dengan penuh kesabaran hinggalah kita temui hari ini.
   Bersyukurlah dengan apa adanya pada hari ini. Gunakanlah sebaik-baiknya nikmat yang Allah berikan pda kita. Nikmatilah air untuk minum, mandi, berwudhuk, dan mencuci. Selimutilah diri dengan nikmat cahaya matahari. Hiasilah diri dengan cahaya pantulan bulan pada malam harinya. Berbuatlah sesuatu memenuhi ruang kosong yang masih ada dengan perkara yang berguna. Petiklah tumbuh-tumbuhan segar dari ranting pepohon, halakanlah pandangan mata pada laut yang membiru lagi luas terbentang, jelajahilah tanah yang belum pernah kita jelajahi dan lupakanlah segala dukalara yang menyemakkan fikiran.
  Terimalah apa sahaja yang telah ditentukan Allah pada kita. Setiap baik dan buruk sesuatu pasti ada manfaatnya. Janganlah kita mengingkari semua anugerah tersebut.
  Jangan sesekali kita menjadi orang yang tidak berterima kasih dan enggan mengenang budi. Sebelum kita menilai duri dalam bunga, cubalah kita lihat keindahannya. Sebelum kita mengeluh panasnya sinaran mentari, nikmatilah kecerahan cahaya indahnya menerangi bumi. Janganlah kita kesali gelapnya malam, kerna disebaliknya kita dapat merasai ketenangan dan keteduhannya. Kenapa mesti kita ubah sesuatu nikmat dari tujuan penciptanya.
  Beralih dari yang buruk kepada sesuatu kebaikan merupakan sesuatu perjuangan yang panjang dan sukar, namun di dalamnya kita dapat temui kebahagiaan dan kepuasan.
  Jadi, BERSYUKURLAH..