Friday 21 September 2012

Wanita dan Masalah

  Wanita sering dikaitkan dengan pelbagai jenis masalah. Cuba kita lihat pada hari ini berapa ramai wanita di sekeliling kita mempunyai begitu banyak masalah. Betapa sedihnya seorang ibu muda yang sanggup membuang bayinya seperti sampah dari tempat yang tinggi setelah melahirkan anak dari hasil hubungan haram dengan kekasihnya. Seolah-olah tiada nilai bayi yang asal ari rahimnya itu. Apakah yang ada dalam pemikirannya ketika membuang bayi itu? Kenapa tidak diberikan saja kapada insan lain. Mengapa perlu rosakkan masa hadapannya sendiri? Wahai si wanita ini.. mengapa tidak begitu bijak dalam menghadapi masalah. Tidakkah terfikir kesan sesuatu perbuatan sebelum melakukan sesuatu?
  Bagaimana pula dengan wanita yang dikhianati suami sendiri? Begitu banyak pengorbanan yang dilakukan demi menyelamatkan rumahtangga yang asalnya bahagia dibina atas dasar cinta dan kemudiannya hancur musnah jua. Apa sebenarnya punca terjadinya masalah dalam rumahtangga? Dalam melakukan pelbagai pengorbanan, pernahkah sesekali terlepas pandang apa yang si suami tadi perlukan yang tidak ada dalam rumahtangga ini hingga si isteri tadi dikhianati? Akhirnya si isteri yang merana, menanggung semua keperitan. Ada yang tidak dapat menerima kenyataan si suami telahpun meninggalkan dirinya hingga akhirnya menyebabkan dirinya menjadi murung. Dari itu satu persatu masalah datang. Dibuang kerja, tidak mampu berdikari dan pelbagai lagi masalah. 
  Begitu juga jika kita lihat terlalu banyak anak gadis yang rosak akhlak dan kehidupannya? Tidak lagi kenal akan dosa dan pahala. Habis dirinya dikuasai pelbagai jenis dadah hingga membuatkan akalnya tidak lagi berkuasa memikirkan sesuatu kebaikan untuk dirinya. Melepak dan merempat sana sini tidak kira siang ataupun malam, tidak kira tempat bersih atau tidak, selesa ataupun seksa dan makan minum tidak lagi dihiraukan. Hidup terumbang-ambing tiada haluan untuk dituju. Di mana ibu dan ayahnya?
 
Jika difikirkan kembali, mengapa semua ini berlaku kepada wanita? Siapa yang perlu dipersalahkan? Marilah kita menginsafi diri. Tidak kira senang atau susah, berada di tempat tinggi atau di bawah, mewah atau miskin. Kita semua hamba yang tidak dapat lari dari melakukan kesalahan. Mungkin hari ini kita lihat orang di luar sana yang mempunyai masalah sebegini sedangkan kita tidak, tapi yang pasti jangan kita lupa hari-hari yang mendatang apakah pula akan terjadi kepada kita ataupun orang yang kita sayang.
  Tidak perlulah kita hanya bercerita tanpa membantu. Gerakkanlah tangan untuk berdoa ataupun hulurkanlah tangan menarik mereka yang memerlukan pertolongan agar mereka keluar dari belenggu kesusahan. Setiap kebaikan yang kita lakukan pasti akan membantu kita ketika kita memerlukan.
  Mari kita kongsikan sedikit demi sedikit tips dan petikan motivasi menjadi wanita bahagia dari sebuah buku yang dikarang oleh Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni. Semoga motivasi-motivasi ini dapat meyakinkan kita menghadapi pelbagai dugaan mendatang.

No comments:

Post a Comment