Wednesday 3 October 2012

Senyumlah Hadapi Hidup...

  Jikalau kita mengukir senyuman tatkala dalam kesusahan dan kebingungan dalam menghadapi pelbagai masalah yang menimpa, sebenarnya kita sedang berusaha untuk meringankan beban dan mengetuk pintu kebahagiaan.   Jangan sesekali berfikir dua kali untuk tersenyum, kerana tersenyum bermakna kita sedang membangkitkan semangat dan kekuatan yang ada dalam diri.
  Jangan pula kita bermuram atau bermasam muka, kerana ianya menolak kekuatan yang kita miliki yang membuatkan diri bertambah kusut dan lebih menderita.
  Senyuman tidak membahayakan kita! Senyuman tidak membahayakan kita!!! Senyuman dapat memberi kehidupan.... Apabila kita berada dalam keadaan tertekan, otak kita tidak dapat berfungsi dengan baik dan tidak dapat memikirkan cara terbaik menyelesaikan masalah.
  Senyuman dapat menarik segala kebaikan. Bibir yang cantik adalah bibir yang ketika ianya mengukir senyuman. Senyumlah pada orang disekeliling kita. Senyuman dapat menyuntik semangat perasaan optimis dan damai di hati orang lain. Ianya dapat membantu kita berada dalam kalangan orang-orang yang membahagiakan.
  "SENYUM YANG MEMBAHAGIAKAN. BERLATIHLAH UNTUK TERSENYUM HARI INI.." 

Tuesday 2 October 2012

Jangan Bersedih Kerana Dunia

 

  Orang yang faham umur dunia amat singkat, harta dunia teramat sedikit, perlakuan dan perubahan dunia kepada penghuninya silih berganti, maka dia tidak akan bersedih kerana hilang apa sahaja dari hal keduniaannya. Dia tidak akan berputus asa apa sahaja yang tidak dia perolehi dari dunia ini.
  Oleh itu janganlah bersedih apa jua yang luput dari kita itu berupakan hal keduniaan. Usahlah kita leka menghitung istana yang besar, kereta berbagai, wang yang bertimbun, harta yang tidak terkira di jari jemari kerna semua itu adalah perkara yang tidak kekal dan pasti suatu saat nanti ianya akan luput dan membuatkan kita hilang arah kerana terlalu taksub akannya.
  Cubalah kita hitungkan berapa banyak harta yang akan kita bawa di akhirat kelak!!!
  Pujilah Allah, kerana kita adalah sebahagian dari insan-insan lain yang mempercayai adanya hari pertemuan dengan Yang Maha Esa, sementara ada sebahagian lagi selain kita yang masih tidak mengakui hari itu akan tiba.
  Bertuahlah orang yang menyedari akan kehadiran hari akhirat nanti dan bersiap sedialah untuknya. Betapa ruginya mereka yang lemah iman dan sibuk mencari harta dunia yang tak seberapa. Apa gunanya kemewahan tanpa iman dan takwa? Jikalau kekayaan itu dapat mebeli kebahagiaan dan menjamin terselamat dari sebarang bencana di bumi, maka sudah tentu tidak ada orang kaya yang mengeluh dan bersedih..

Bersyukur Atas Pemberian-Nya

  Jika sesekali beralih pandang mengenang kembali kehidupan yang lalu, pasti ada perkataan menyesal yang terungkap di dalam hati. Makin di hayati dan diingati satu persatu dengan lebih terperinci peristiwa lalu akan membuatkan kita berasa serba salah, sedih dan berasa marah akan kebodohan diri sendiri. Dalam kehidupan kita yang amat singkat, kita telah habiskan sebahagian dengan masa-masa lalu. Tahukah kita berapa lagi bahagian masa yang masih tertinggal? Justeru itu, bersyukurlah kita masih lagi diberi peluang pada hari ini untuk kita meneruskan kehidupan kita. Semoga kehidupan kita yang kita lalui sekarang ini dan minit-minit yang akan datang penuh dengan keberkatan.
   Jadilah kita sebagai hamba yang bersyukur. Walaupun perit menjalani hari-hari berlalu, tetapi kita berjaya mengatasinya dengan penuh kesabaran hinggalah kita temui hari ini.
   Bersyukurlah dengan apa adanya pada hari ini. Gunakanlah sebaik-baiknya nikmat yang Allah berikan pda kita. Nikmatilah air untuk minum, mandi, berwudhuk, dan mencuci. Selimutilah diri dengan nikmat cahaya matahari. Hiasilah diri dengan cahaya pantulan bulan pada malam harinya. Berbuatlah sesuatu memenuhi ruang kosong yang masih ada dengan perkara yang berguna. Petiklah tumbuh-tumbuhan segar dari ranting pepohon, halakanlah pandangan mata pada laut yang membiru lagi luas terbentang, jelajahilah tanah yang belum pernah kita jelajahi dan lupakanlah segala dukalara yang menyemakkan fikiran.
  Terimalah apa sahaja yang telah ditentukan Allah pada kita. Setiap baik dan buruk sesuatu pasti ada manfaatnya. Janganlah kita mengingkari semua anugerah tersebut.
  Jangan sesekali kita menjadi orang yang tidak berterima kasih dan enggan mengenang budi. Sebelum kita menilai duri dalam bunga, cubalah kita lihat keindahannya. Sebelum kita mengeluh panasnya sinaran mentari, nikmatilah kecerahan cahaya indahnya menerangi bumi. Janganlah kita kesali gelapnya malam, kerna disebaliknya kita dapat merasai ketenangan dan keteduhannya. Kenapa mesti kita ubah sesuatu nikmat dari tujuan penciptanya.
  Beralih dari yang buruk kepada sesuatu kebaikan merupakan sesuatu perjuangan yang panjang dan sukar, namun di dalamnya kita dapat temui kebahagiaan dan kepuasan.
  Jadi, BERSYUKURLAH.. 

Friday 21 September 2012

Banyaknya Nikmat Yang Allah Berikan Padamu

  Setiap kali anda menikmati suasana pagi, ingatlah bahawa suasana pagi yang sama juga telah meliputi beribu-ribu orang yang sedang berdepan dengan masalah dan kesusahan, tetapi anda bersyukur mendapat nikmat meliputi orang-orang lapar tetapi anda dalam keadaan kenyang, meliputi beribu-ribu orang yang terpenjara sedangkan anda bebas merdeka, meliputi  beribu-ribu orang yang ditimpa masalah dan kematian sementara anda masih mampu hidup selesa.
  Alangkah banyaknya airmata yang melimpahi pipi seorang wanita, alangkah banyaknya derita di hati seorang ibu, dan betapa kuat jeritan di kerongkong si kecil, sementara kamu masih dapat ketawa gembira.
  Oleh itu pujilah Allah S.W.T atas kelembutan penjagaan dan kemuliaan yang diberikan oleh-Nya. Duduklah anda dengan mengintrospeksi perilaku diri. Gunakanlah angka-angka dan hitungan, alangkah banyaknya harta-harta yang anda miliki, kenikmatan, kemudahan, kecantikan, keluarga, sahabat, jiran tetangga dan lain-lain. Kerana itu, bersyukurlah anda dan berbuat baiklah sesama.
 
'Bayarlah doa orang-orang fakir dan cinta orang-orang miskin dengan membantu mereka'.

'Redalah dengan apa sahaja yang diberikan Allah padamu, nescaya kamulah orang yang paling kaya dan bahagia'.

Wanita dan Masalah

  Wanita sering dikaitkan dengan pelbagai jenis masalah. Cuba kita lihat pada hari ini berapa ramai wanita di sekeliling kita mempunyai begitu banyak masalah. Betapa sedihnya seorang ibu muda yang sanggup membuang bayinya seperti sampah dari tempat yang tinggi setelah melahirkan anak dari hasil hubungan haram dengan kekasihnya. Seolah-olah tiada nilai bayi yang asal ari rahimnya itu. Apakah yang ada dalam pemikirannya ketika membuang bayi itu? Kenapa tidak diberikan saja kapada insan lain. Mengapa perlu rosakkan masa hadapannya sendiri? Wahai si wanita ini.. mengapa tidak begitu bijak dalam menghadapi masalah. Tidakkah terfikir kesan sesuatu perbuatan sebelum melakukan sesuatu?
  Bagaimana pula dengan wanita yang dikhianati suami sendiri? Begitu banyak pengorbanan yang dilakukan demi menyelamatkan rumahtangga yang asalnya bahagia dibina atas dasar cinta dan kemudiannya hancur musnah jua. Apa sebenarnya punca terjadinya masalah dalam rumahtangga? Dalam melakukan pelbagai pengorbanan, pernahkah sesekali terlepas pandang apa yang si suami tadi perlukan yang tidak ada dalam rumahtangga ini hingga si isteri tadi dikhianati? Akhirnya si isteri yang merana, menanggung semua keperitan. Ada yang tidak dapat menerima kenyataan si suami telahpun meninggalkan dirinya hingga akhirnya menyebabkan dirinya menjadi murung. Dari itu satu persatu masalah datang. Dibuang kerja, tidak mampu berdikari dan pelbagai lagi masalah. 
  Begitu juga jika kita lihat terlalu banyak anak gadis yang rosak akhlak dan kehidupannya? Tidak lagi kenal akan dosa dan pahala. Habis dirinya dikuasai pelbagai jenis dadah hingga membuatkan akalnya tidak lagi berkuasa memikirkan sesuatu kebaikan untuk dirinya. Melepak dan merempat sana sini tidak kira siang ataupun malam, tidak kira tempat bersih atau tidak, selesa ataupun seksa dan makan minum tidak lagi dihiraukan. Hidup terumbang-ambing tiada haluan untuk dituju. Di mana ibu dan ayahnya?
 
Jika difikirkan kembali, mengapa semua ini berlaku kepada wanita? Siapa yang perlu dipersalahkan? Marilah kita menginsafi diri. Tidak kira senang atau susah, berada di tempat tinggi atau di bawah, mewah atau miskin. Kita semua hamba yang tidak dapat lari dari melakukan kesalahan. Mungkin hari ini kita lihat orang di luar sana yang mempunyai masalah sebegini sedangkan kita tidak, tapi yang pasti jangan kita lupa hari-hari yang mendatang apakah pula akan terjadi kepada kita ataupun orang yang kita sayang.
  Tidak perlulah kita hanya bercerita tanpa membantu. Gerakkanlah tangan untuk berdoa ataupun hulurkanlah tangan menarik mereka yang memerlukan pertolongan agar mereka keluar dari belenggu kesusahan. Setiap kebaikan yang kita lakukan pasti akan membantu kita ketika kita memerlukan.
  Mari kita kongsikan sedikit demi sedikit tips dan petikan motivasi menjadi wanita bahagia dari sebuah buku yang dikarang oleh Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni. Semoga motivasi-motivasi ini dapat meyakinkan kita menghadapi pelbagai dugaan mendatang.

Tuesday 18 September 2012

Tips Memotivasikan Diri Hari Ini..

=> Di pagi yang cukup indah ini, dengan tarikan nafas yang menghirup udara segar sesekali cuba kita luangkan masa hanya seminit dua dengan melafazkan janji pada diri kita sendiri bahawa tidak sesekali kita mengungkap atau mencari-cari kekurangan dan kesalahan orang lain. Katakan pada diri kita bahawa kita akan cuba perbetulkan kelemahan kita sendiri pada hari ini semoga hari ini menjadi lebih baik dari semalam.... Insyaallah moga kita semua sama-sama dapat melakukannnya.

Monday 17 September 2012

Salam... Hai semua. Saya adalah penulis baru di sini. Jadi andai kata ada terkurang sesuatu dalam halaman ini, maafkanlah.. Berikanlah saya peluang dalam mencari ilmu yang baru di sini. Semoga ianya dapat memberi manfaat kepada kita semua.